Konsep Persilatan SCH

>> Wednesday, January 27, 2010

Silat Cekak Hanafi ialah sejenis silat bela diri yang benar-benar asli, bukannya sejenis silat permainan atau Silat Olahraga.

Silat Cekak Hanafi mempunyai kaedah-kaedah yang tetap dengan mempunyai buah-buah pukulan dan kunci-kunci tangkapan yang cukup dan kemas. Pergerakan dan sistem silat ini adalah berasaskan gerak geri semulajadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang dan nyata kesesuaiannya dengan prinsip agama Islam.

Pelajarannya lebih menitikberatkan dari segi mempertahankan diri supaya terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh. Hanya bila terpaksa demi keselamatan diri barulah Silat Cekak Hanafi menyerang.

Silat Cekak Hanafi menunggu serangan dengan berdiri lurus( berdiri sembahyang ) dan tidak mengelak ke kiri dan ke kanan bahkan mara ke hadapan di dalam gerak yang satu, makan gerak dalam gerak, sebab sebenarnya hakikat Silat Cekak Hanafi ialah Silat Gerak.

Yang paling istimewa dan ganjil sekali di dalam kaedah serangannya; dikala ia menyerang dan jika musuh mengelak, pasti kena dan sekiranya ditepis pula pasti dimakannya. Tambahan pula sambil menyerang ia dapat menangkap (Cekak menyerang, Cekak menangkap ).

Penuntut-penuntut menangkis pukulan dan tikaman senjata-senjata dengan tangan kosong sahaja. Matlamat Silat Cekak Hanafi ialah menangkis pukulan senjata-senjata sambil dapat merampas senjata lawan.

  © Blogger templates Inspiration by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP